Seramai 32 graduan menarik nafas lega apabila menamatkan pengajian dengan memperolehi sijil asas dan sijil masing-masing. Keceriaan dan kesyukuran tergambar di setiap wajah para graduan sewaktu Majlis Konvokesyen 

Penyampaian Sijil Anugerah Kecemerlangan Akademik 2008 kerana hasil usaha mereka selama ini tertunai. Majlis gilang gemilang itu diadakan di Dewan Putra IDIP, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim yang dianjurkan oleh Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).



Majlis ini telah menghimpunkan seramai 250 orang yang terdiri dari Majlis Senit IDIP, pensyarah, ibu-bapa dan mahasiswa IDIP yang terdiri kaum Cina, India, Asli Temiar, Asli Semai, Asli Temuan, Murut, Iban, Sino Kadazan, Dusun, Dusun Lukod, Melanau, Filipina dan Kemboja untuk menghargai kecemerlangan pelajar yang menerima Sijil dan Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah.

Tidak ketinggalan juga kehadiran wakil penaja pelajar Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Majlis Agama Islam Perak (MAIP), Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Majlis Agama Islam Perlis (MAIP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (JAWI) Labuan, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Pusat Bimbingan Saudara Baru (PUSBA), Pusat Zakat Selangor, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Yayasan Kasih Sayang, Yayasan Ubaidi dan PERKIM Kebangsaan.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Ariffin Suhaimi selaku Pengerusi Majlis IDIP merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan.

Ariffin berkata, “Para pendakwah wajib memahami dan menghayati Islam sebagai Satu Cara Hidup serta mengajar dan menyebarkan dakwah Islamiah secara formal kepada saudara muslim dan anggota masyarakat sejajar dengan objektif IDIP.”

“Perkim ingin menjadikan institut ini sebagai pusat pengajian dakwah islamiah yang bertaraf IPT dan kursus-kursus tambahan seperti diploma ijazah serta mendapat pengiktirafan dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berdasarkan kecemerlangan pelajar saudara muslim dari seluruh negara”, katanya lagi selepas menyampaikan sijil, sijil asas Pengajian Islam Dakwah dan Anugerah Cemerlang kepada mahasiswa IDIP.

Mohammad ‘Izzudin Nujipin dari kaum Murut dan Mustaqim Al-Husairie Clair Abdullah dari kaum Melanau masing-masing mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang Saudara Muslim dan Nur Atirah Mustafar dari kaum Asli Temuan mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang Saudara Muslimah berdasarkan kecemerlangan pencapaian kursus Pengajian Islam dan Dakwah.

Pengajian kursus Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah untuk saudara muslim ini mengambil masa 2 tahun bersamaan 4 semester manakala pengajian kursus Sijil Pengajian Islam dan Dakwah mengambil masa selama 3 tahun yang bersamaan 6 semester.

Di dalam pengajian kursus Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah ini terkandung matapelajaran Al-Quran, Fardhu Ain, Aqidah, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Perbandingan Agama, Metodologi Dakwah, Kenegaraan Malaysia, Usuluddin, Feqah, Tauhid, Ulum Quran, Ulum Hadith, Pendidikan Moral, Sejarah Islam, Jawi dan Masyarakat Malaysia.

Majlis diserikan lagi dengan nyanyian kumpulan nasyid Sowwatul Ummah dari IDIP pada akhir majlis tersebut. Turut hadir, Prof. Dr. Siti Normala Sheikh Obid selaku Ahli Majlis Tertinggi Perkim Kebangsaan, Tuan Hj. Abdul Hanif Harun selaku Pengarah Dakwah Perkim dan Mohamed Nazir Che Ibrahim selaku Pengetua IDIP.