MASA DEPAN BAHASA MELAYU DI SELATAN THAI

 

 MASA DEPAN BAHASA MELAYU DI SELATAN THAI*

 

Oleh: Dr Abdul Aziz bin Mahmood,

          Ketua Jabatan Bahasa dan Pengajian Asasi,

          Institut Dakwah Islamiah PERKIM,

          Kelantan, Malaysia..

 

Tarikh Seminar: 25-09-2010 (Sabtu) 

Tempat Seminar: Dewan Jabatan Bahasa Melayu,

                        Universiti Islam Jala.

 

* KERTAS KERJA INI DIBENTANG DI SEMINAR Jabatan Bahasa Melayau Universiti Islam Jala Thailand.

 

Pendahuluan

 

Terlebih dahulu saya(penulis) ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada urusetia, kerana sudi mengundang penulis membentang kertas kerja dalam seminar hari ini. Dengan tema seminar “Memertabatkan Bahasa Melayu 2015”.Tahniah juga penulis ucapkan kerana mempunyai visi atau cita-cita bangsa Melayu di Thailand yang merupakan bangsa kedua terbesar sesudah Siam.Dengan kawasan Selatan yang memanjang hampir sama luas dengan Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) sekarang.

Wilayah-wilayah Melayu di Selatan yang dipecah kepada beberapa wilayah kecil seperti Pattani, Jala(Yala), Narathiwat dan Setol merupakan kawasan atau negeri yang dihuni oleh lebih 80%  bangsa Melayu beragama Islam. Mereka sekian lama dinafikan hak dan di anak tiri sehingga panggilan Melayu tidak ada. Mereka hanya disebut “Thai Muslim” dan bahasa Melayu disebut sebagai jawi atau yawi.

 

Kini tempurung yang menyelubungi atau menutupi mereka telah terbuka, kerana bahasa mereka adalah jauh lebih besar berbanding bahasa induk mereka yakni bahasa Thai.Bahasa Melayu berada di tahap keenam paling luas digunakan di dunia selepas,bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan India (Rais Yatim:2010). Bahasa Melayu dituturkan lebih 300 juta orang meliputi kepulauan Melayu, Indonesia,Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thai dan Philipina. Bahasa Melayu juga dituturkan oleh masyarakat Melayu di benua Afrika iaitu di pulau Madagaskar dan Afrika Selatan. Selain itu bahasa Melayu juga dituturkan di Surinam, Amerika Selatan. Secara kecil-kecilan bahasa Melayu dituturkan di Sri Lanka, Kemboja dan Myanmar serta di Arab Saudi.

 

Masa Depan Bahasa Melayu Cerah

Pada hemat saya masa depan bahasa Melayu semakin cerah dan berkembang di Thailand.Walaupun cabaran yang dihadapi semakin hebat, tetapi melihat kepada situasi hari ini bahasa Melayu umpama air banjir yang tidak dapat ditahan bila dia mengalir. Sesiapa yang menahannya akan roboh diterjah air bah.

Peribahasa orang Melayu, yang merupakan falsafah unggul harus dipegang. “Bahasa Jiwa Bangsa”. Bermaksud bahasa merupakan nyawa satu-satu bangsa. Jika nyawa tiada bangsa itu akan hilang. Berapa banyak bangsa dan bahasa di dunia telah pupus. “Bahasa Menunjukkan Bangsa.” Bermaksud bahasa menjadi penanda kewujudan satu-satu bangsa. Jika penanda itu tidak ada bermakna bangsa itu tidak wujud. “ Kenal Bangsa Kerana Bahasa”, bermaksud sesuatu bangsa akan menjadi terkenal bila bahasanya didaulatkan.

Adalah menjadi tugas yang diamanahkan oleh generasi atau keturunan agar menjaga dan mendaulatkan bahasa Melayu di mana sahaja kita berada. Bahasa menjadi besar dan berkembang bila digunakan secara meluas diperingkat bawahan dan juga di peringkat atasan.

Untuk mengembangkan bahasa Melayu beberapa perkara harus diambil tindakan antaranya ialah:

 

Rasa Bangga Bercakap Melayu.

Perasaan ini wajib ditanam dalam jiwa anak-anak kita supayamereka berbangga dengan bahasa ibu anda masing-masing. Walaupun kita menggalakkan anak-anak kita belajar bahasa asing, tetapi keutamaan harus diberi kepada bahasa sendiri. Mata pelajaran bahasa Melayu wajib diajar dari peringkat kanak-kanak, sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat pusat pengajian tinggi.

Percakapan menggunakan bahasa Melayu seharusnya menjadi luasbukan di peringkat kampong, tetapi di pecan di pejabat dan tempat-tempat persidangan di peringkat negeri, negara dan antarabangsa. Kita patut berterimakasih kepada para pemimpin Indonesia yang bercakap dalam bahasa Melayu/Indonesia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB). Kalau tidak bahasa Melayu akan tenggelam di perkampungan masing-masing.

Kalau kita perhatikan dalam sukan bola sepak piala duniayang telah berlangsung di Afrika Selatan beberapa bulan yang lalu kebanyakan juru latih dari Argantina, Brazil, Itali, Sepanyol, Belanda dan lain-lain memberi pandangan atau komen dalam bahasa masing-masing. Tugas televisyen menterjemah ke dalam bahasa apa yang mereka kehendaki.

Sebagai contoh kesungguhan kerajaan Thailand menjaga bahasa Thai, siaran tv atau radio, akhbar dan buku-buka kebanyak dalam Bahasa Thai. Huruf-huruf yang mereka tidak boleh sebut mereka tukar seperti huruf j kepada y, maka jadilah jawi kepadayawi, Jala kepada Yala. Demikian juga huruf-huruf lain seperti g kepada k, maka bertukarlah golok menjadi kolok. Golok adalah sejenis senjata orang Melayu.Kolok entah apa maknanya. Demikian juga Jala adalah sejenis alat tangkapan ikan orang Melayu. Manakala Yala entah apa maknanya. Perubahan-perubahan ini secara tidak langsung merusakkan bahasa dan identiti Melayu. Secara tidak langsung dia memberi kesan kepada psikologi dan jati diri Melayu.

 

Apa salahnya kalau kita mengekalkan sebutan Melayu asal.Bangsa Melayu jangan jadi telor lidah mereka. Sebagaimana bayi kecil kita meminta sesuatu dalam bahasa telornya. “mak nak cucu.” Maka mak menjawab,“nanti mak buat cucu” mengapa si ibu tidak berkata “nanti mak buat susu.”Sebutan yang betul boleh memperepatkan anak-anak belajar bahasa.

 

Bahasa Ilmu

Untuk menjadikan satu-satu bahasa itu besar, maka dia perlu menjadi bahasa ilmu. Bahasa ilmu maksud bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar di pusat-pusat pengajian tinggi. Sebagai orang Melayu saya merasa amat bersyukur dan bangga kerana wujudnya Jabatan Bahasa Melayu di sini.Tentulah kita sama-sama mahu melihat daripada jabatan akan menjadi fakulti,contoh Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya membesar menjadi AkademiPengajian Melayu yang peranannya lebih kurang sama atau tinggi sedikit berbanding fakulti. Pertuturan mahasiswa Melayu seharusnya dalam bahasa Melayu,kecuali kita berhubung dengan orang-orang yang tidak tahu berbahasa Melayu. Halini boleh membantu mahasiswa dari China,Kemboja atau Myanmar dan lain-lain bercakap atau belajar bahasa Melayu. Jangan kita mengikut arus utara yang telah lama menjajah minda kita.

 

Media Cetak dan Elektronik

Salah satu tanda kegagahan satu-satu bahasa ialah wujudnya tulisan-tlisan dalam bentuk berita, rencana, akhbar, majalah dan buku. Akhbar berperanan menyampaikan berita secara umum dalam bentuk harian atau mingguan.Majalah memaparkan rencana atau berita yang lebih terperinci. Manakala buku menampilkan pemikiran dalam bentuk sastera, kajian ilmiah, buku-buku ilmiah dalam bidang iktisad, kemasyarakatan, bahasa , sains, kaji hayat, fizik,perubatan, agama, kajian agama, tafsir al-Quran dan lain-lain.

 

Sewajarnya perpustakaan universiti Islam Jala dipenuhi hasilkarya pensyarah-pensyarah kita terutama rektor. Saya telah membaca karya raktor Dr Lutfi Chapakia  yang dihadiahkan olehEn Ramlee Hamad Ketua Jabatan Bahasa Melayu. Tahniah kepada saudara Phosankerana telah berjaya menghasilkan kumpulan puisi.

 

Selain media cetak, media elektronik seperti radia, tv dan sesawang juga memainkan peranan penting untuk mengembangkan satu-satu bahasa.Kita mula dari sekarang jangan tunggu lagi. Kita jangan tanya apa sumbangananda tapi tanyalah diri sendiri dan tunjukkan sesuatu untuk bahasa dan bangsa anda. Kata peribahasa Arab, masa seperti pedang, dia akan memotong kita kalau kita tidak  memotongnya.

 

Papan Tanda

Antara tanda penting kewujudan satu-satu bahasa ialah papan tanda. Papan tanda bermaksud apa-apa yang kita tulis untuk jadi panduan orang asing atau orang yang tidak mengenali tempat tersebut. Contohnya nama-namajalan atau lorong, nama sekolah, nama masjid atau surau, nama kedai, nama syarikat, nama pejabat, nama rumah sakit, nama orang, nama tempat-tempat atau sudut-sudut penting dan lain-lain

Merujuk kepada Pattani, bahagian atas papan tanda bertulisan Thai, tetapi di bahagian bawah bertulisan Melayu jawi atau rumi. Jika nama kampung Melayu diterjemah Ban oleh bahasa Thai maka papan tanda Melayu harus mengekalkan perkataan kampung. Sepanjang pemerhatian penulis melihat wujudnya papan tanda di kedai-kedai Bandar Jala, walaupun kedai tersebut bukan kepunyaan orang Melayu. Contoh sebuah kedai emas menggunakan papan tanda bahasa Siam,bahasa Melayu dan Cina.

Nama sekolah misalnya boleh guna bahasa Arab, Siam,Melayu dan Inggeris. Sayangnya ada madrasah menggunakan bahasa Arab dan Thaisahaja. Manakala sekolah kerajaan menggunakan papan tanda bahasa Thai dan Inggeris sahaja. Adajuga tadika kepunyaan orang Melayu menulis papan tanda dalam bahasa Thai sahaja atau langsung tidak ada papan tanda. Sama juga dengan papan tanda nama kubur Islam patut ditulis dalam bahasa Melayu jawi.

Kegunaan tulisan jawi akan pupus sekiranya tulisan rumi digunakan secara meluas. Hal ini berlaku di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Tulisan jawi semakin terhakis apabila penggunaannya semakin mengecil. Tidak ada sebuah pun majalah atau akhbar berhuruf jawi kecuali majalah Pengasuh terbitan majlis agama Islam Kelantan. Pada pandangan saya Pattani sebagai serambi Mekah Thailand seharusnya mengekalkan penggunaan tulisan jawi di semua papan tanda.

 

Pendedahan Dunia Melayu yang Besar

Kita merasa kecil apabila kita melihat dalam skop kecil. Umpamanya di kalangan 60 juta penduduk Thailand bangsa Melayu dianggar 7juta orang sahaja. Tetapi apabila kita melihat dunia lebih besar bahawa penutur bahasa Melayu bukan 7 juta tetapi melebihi 300 juta jauh lebih tinggi berbanding dengan penutur bahasa Thai.

Pendedahan sejarah dan tamadun Melayu akan membuka ruang fikiran yang lebih luas menenggelamkan sikap kampung ‘persis katak di bawah tempurung’. Adalah menjadi tugas kita bersama; para pensyarah dan paramahasiswa menggembeling tenaga bahu- membahu bagi membuka tempurung yang membelenggu sebahagian besar masyarakat Melayu.

Anak-anak Pattani yang berjiwa besar mereka berada diseluruh dunia mengembara mencari ilmu dan harta. Mereka mempunyai kekuatan jika diberi kesedaran untuk memertabatkan bahasa di negara sendiri. Gejala peminggiran bahasa juga berlaku di Malaysia tetapi setelah para pejuang bahasa bersungguh-sungguh membantah akhirnya kerajaan Malaysia kembali ke pangkal jalan mengikut lunas undang-undang akta 152. perlembagaan Malaysia bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia dan menjadi bahasa kebangsaan yang juga dikenali sebagai bahasa Malaysia. Penyata Pelajaran Razak menyebut bahawa pembelajaran dan pengajaran di peringkat rendah hingga peringkat universiti diadakan dalam bahasa Melayu untuk semua jurusan sasteraatau sains.

Pun begitu gejala penyelewengan bahasa masih berlaku terutama di pusat-pusat pengajian tinggi swasta. Kementerian pengajian tinggi perlu tegas menghadapi situasi seperti ini. Jika di bandingkan di sini tentulah lain dasar dan falsafah pendidikan. Kesungguhan anak-anak Melayu di sini mempertahankan bahasa harus dipuji. Mereka berdiri dengan keyakinan diri tanpa mengharap pihak berkuasa membantu, demi mempertahan dan memertabatkan Bahasa Melayu.

 

Kesedaran Sedari Kecil

Jiwa anak-anak harus dibentuk dari kecil lagi untuk menanam rasa cinta dan tanggungjawab terhadap bahasa. Jangan kita perlekehkan bahasa sendiri. Anak-anak harus fasih bahasa sendiri sebelum fasih bahasa asing. Tidak menjadi salah kita menguasai dua tiga bahasa tapi bahasa sendiri harus diutamakan. Kalau kita tidak jaga bahasa kita akan berkubur. Sudah banyak bahasa-bahasa di dunia ini berkubur bila bangsa itu tewas atau tidak menggunakan bahasa sendiri.

Pembelajaran semasa kecil memberi kesan yang besar kepada anak-anak kita. Anak-anak menganggap ibu bapa sebagai contoh dan guru juga sebagai wira mereka. Justeru itu pemilihan sekolah tadika dan sukatan pelajarannya perlu diambil kira.

 

Sajak-sajak Tentang Bahasa

Jika kita menatap sajak-sajak Melayu banyak kita temui sajak-sajak yang menyentuh persoalan tentang bahasa. Ada falsafah dan mesej besar dalamsajak-sajak tersebut.

 

Perhatikan sajak bertajuk Pejuang Bahasa

 

Seorang pejuang bahasa

Perkasa bicara pada lisan

Teguh ungkapan pada tulisan

Akalnya saujana pengaruhi dunia

Nusanya denyut hati pembaharuan

Sedar silap salah insafi kebenaran

Khilafnya memperbetulkan perjalanan

Hijrah keburukan dikotai kebaikan

Jahil bertukar penuh ilmu pengetahuan

Demi maruah sebuah kedaulatan

Lidah insane getaran perjuangan

Dirinya di tanah watan

Suaranya sejagat alam.

                            A.Aziz Draman (2009).

 

Professor Rahman Shaari mengajak kita berbahasa (Melayu) sebagai bahasa ibunda, sebagai bahasa ilmu, bahasa perhubungan, bahasa pengajaran dan lan-lain.

 

Mari kita berbahasa sebaiknya.

 

Bahasa adalah pengatur

pucuk fikiran yang bertabur

bahasa adalah pelentur

ranting perasaan yang bersiur.

 

Dengan bahasa

terlihat fakta padu

terlihat sinar ilmu

terlihat cinta biru.

 

Dengan bahasa

pemimpin memaparkan arah

di pentas siasah

dengan bahasa orang beriman

menikmati ibadah

khusyuk dan pasrah.

 

Mari kita berbahasa sebaiknya.

 

Dengan bahasa budi dipertinggi

mesra diperlebar

dengan bahasa menjadi kita bersama.

 

Jika tanpa bahasa

Bagaimana kita akan setujui

Perjanjian ini?

 

Mari kita berbahasa sebaiknya.

 

Abham melalui sajak ‘Bahawa Bahasaku’, cuba mengimbau sejarah silam bahawa bahasa Melayu adalah bahasa besar bertaraf dunia, tidak wajar diperkecilkan apatah lagi oleh bangsa sendiri. Perhatikan sajak tersebut.

 

Bahawa Bahasaku

 

Bahawa bahasaku adalah bahasa mega dan agam

Disaksikan sejarah dan ketamadunan

Melaka Acheh Johor Riau Majapahit Sriwijaya Pattani

Dan Langkasuka

Betapa tiba-tiba diperlekeh dan diperleceh

Oleh tangan dan lidah bangsa sendiri

Konon mengejar wawasan duna

Lalu memotong tangan dan lisan sejati

Menjadi cacat dan hina

Tersisih dan terperusuk di ceruk desa

Atau di pedalaman sepi

Nazak dan tenat menunggu mati.

 

Bahawa bahasaku bahasa ilmu dan intelektual

Dibina para pendeta sejak dahulukala

Menjadi bahasa lingua franka

Kepulauan Melayu atau Nusantara

Menghubung dunia musyrik dan maghrib

Punya 300 juta penutur

Indonesia,Malaysia, Singapura,Brunei, ThailandSelatan,

Dan Philipina

Mengembang hingga Afrika Selatan, Madagaskar, Surinam,

Sri Lankadan lain-lain wilayah.

 

Setelah setengah kurun merdeka

Tiba-tiba 2003 nan malang

Tangan hitam itu meragut takhta bahasa

Dari singgahsana rukun Negara dan perlembagaan mulia

152 diperkosa

Dimalukan

Dihinakan

Dan dimatikan.

 

Abham T.R.(2010)

 

Penutup

 

Kalau pahlawan Melayu Hang Tuah menyebut satu kata keramat yang diingati anak cucu Melayu sampai bila-bila “Tak ‘kan Melayu Hilang di Dunia”, maka Proffesor bahasa Melayu Asmah Haji Omar menyebut “Tak ‘kan bahasa Melayu hilang di dunia. Kenyataan keramat ini disokong oleh kajian dan teori yang dikemukan oleh beliau dalam bukunya ‘Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu’.

 

Menurut Asmah (2005) kawasan teras bahasa Melayu yang terdapat di Thailand Selatan pada suatu masa dahulu sudah memperlihatkan berlakunya penyekatan defusi bahasa, disebabkan tidak adanya institusi sosial yang menyokong defusi bahasa berkenaan. Sungguhpun orang-orang Melayu sudah sejak awal lagi bermustautin di Thailand Selatan, menepati system sosial,misalnya sistem pendidikan, dijalankan dalam bahasa Thai. Keadaan ini dengan sendirinya menghalang difusi bahasa Melayu. Menurut Worawit Baru (2001), dasar-dasar tertentu yang dilaksanakan pemerintahan Thailand untuk menjamin keselamatan dan kestabilan Negara berkenaan menyebabkan bahasa Melayu tersisih dalam kawasan terasnya.

 

Asmah(2005) menambah lagi, dalam zaman globalisasi ini,sering timbul pertanyaan dari berbagai-bagai pihak tentang kemungkinan Bahasa Melayu akan lupus daripada penggunaannya, digantikan dengan bahasa Inggeris. Dengan menggunakan kerangka teori Asmah ini kita dapat mengatakan “Tak ‘kan bahasa Melayu hilang di dunia”. Dengan kawasan-kawasan teras yang dapat mempertahankan tarafnya,juga dengan perubahan kawasan satelit menjadi kawasan teras, sertaberbagai-bagai tadahan defuse yang dipelihara dengan baik, maka pelupusan bahasa Melayu tidak akan mudah berlaku.

 

Satu cita-cita unggul untuk meningkatkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa dunia. Cita-cita ini bukan mustahil jika orang Melayu mempunyai ilmu dan ekonomi yang kukuh serta semangat jati diri cintakan bahasa, bangsa dan agama. Bahasa kita begitu indah dengan pantun sebagai gambaran mindaMelayu. Hanya bangsa Melayu yang mempunyai pantun.

 

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga;

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

 

Apa diharap buah pauh,

Entah masam entah tidak,

Entah dimakan burung merpati;

Apa diharap bahasa yang jauh,

Entah berfaedah entah tidak,

Tidak mungkin dijadikan ganti.

 

Timang-timang keris di bukit,

Keris ditimpa dahan cempaka,

Keris pandan intan laksamana;

Rosaknya bahasa hatiku sakit,

Masyarakat pula bersikap alpa,

Pejuang bahasa juga yang merana.

 

 

 

 

BIBLIOGRAFI

 

A.Aziz Draman,2009. Mahligai Kencana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasadan Pustaka.

Abham. T.R., 2010. Di bawah Pohon Matahari Khatulistiwa.Kelantan: Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA).

Asmah Haji Omar, 2005. Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rais Yatim, “Bahasa Melayu ke 6 di Dunia”. Sinar Harian,5 Januari 2010

 

Kemasukan Pelajar
IDIP menerima kemasukan pelajar dua kali setahun

Kakitangan IDIP
Senarai Kakitangan Akademik IDIP

Rencana Ilmiah
Himpunan rencana dan berita

Alumni Bekas-bekas pelajar IDIP

 

Sistem Bekas-bekas Pelajar IDIP

 

Jawatan Kosong

Waktu Solat

Selasa 27 Feb 2018
11 Jamadil Akhir 1439 H

 

Subuh 06:08
Syuruk 07:26
Zuhur 13:26
Asar 16:45
Maghrib 19:26
Isya 20:36

Kelantan

 

[ Tukar Kawasan ]

Undian

 

Pendapat anda mengenai Portal IDIP?
   

Dari Meja Pengerusi

 

YBhg. Dato’ Haji Abdul Hanif Harun

Lagi...

Pelawat

 
Today 12
Yesterday 13
This week 44
Last week 603
This month 2204
Last month 3699
All days 358853

We have: 1 guests online
Your IP: 115.132.56.32
Chrome 64.0.3282.140, Windows
Today: Feb 27, 2018

Kakitangan